KUALA LUMPUR – Beberapa daerah di Selangor dijangka mengalami hujan lebat dan angin kencang petang ini.
Antara daerah-daerah itu adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta Putrajaya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, amaran sama turut dikeluarkan bagi Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan.
Turut mengalami cuaca sama seluruh Melaka; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; seluruh Perlis; Langkawi, Kedah serta Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak.
Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. – MalaysiaGazette