KUALA LUMPUR – Penyerang Kuala Lumpur City FC, Kevin Koubemba belum berpuas hati dengan apa yang telah ditampilkan setakat ini, selain positif masih ada ruang dan waktu untuknya memperbaiki prestasi dengan lebih baik.
Ini kerana, daripada sembilan perlawanan yang dia beraksi dalam semua pertandingan domestik, pemain import dari Congo ini hanya mencatat dua jaringan dan sudah tentu ia masih belum cukup buat dirinya.
Namun, misinya bersama pasukan bukanlah semata-mata untuk mengejar jumlah gol sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada pemain yang mampu membantu skuad ini meraih pencapaian cemerlang, baik di pentas Liga Super dan TM Piala Malaysia.
“Saya tidak boleh berpuas hati sebab sebenarnya banyak peluang yang saya terlepas untuk menjaringkan gol.
“Mungkin terlalu yakin, dan benda seperti itu akan berlaku, dan biasalah kadang-kadang apa kita buat itu menjadi dan kadang-kadang tidak.
“Untuk saya, tiada sasaran berapakah jumlah gol yang saya nak sebab saya hanya ingin masuk ke padang, bermain dengan cemerlang, dan kalau saya berjaya jaringkan gol, ia bonus”, katanya.
Ini adalah musim pertama Koubemba bersama skuad kendalian Bojan Hodak dan dia lebih banyak diletakkan di bahagian sayap dalam perlawanan setakat ini.
Dan dia sedar, pemain import lain seperti Romel Morales juga turut menggalas tugas penting di bahagian depan pasukan dalam mencari peluang menghasilkan gol buat skuad.
“Jangan lupa kita juga ada pemain seperti Romel sebagai penyerang, dan saya rasa kami pun sudah makin memahami antara satu sama lain.
“Dan jika saya dapat peluang untuk membantu daripada segi hantaran, tiada masalah asalkan ia dapat memudahkan semua pemain di atas padang bagi bantu pasukan”, tambahnya.
Kuala Lumpur akan menentang Terengganu FC pada Sabtu ini untuk perlawanan ke-10 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. – MalaysiaGazette