SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas terjatuh dalam tasik terbiar ketika memukat ikan di Jalan Hill Park, Bandar Puteri Jaya di sini semalam.
Mangsa, M Shafiq Mohd Mokhtar, 36, dari Kampung Sungai Pasir Kecil dikatakan pergi ke tasik tersebut bersama isteri serta anak perempuannya berusia tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mangsa lemas di tasik berkenaan pada jam 2.45 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati mangsa mengajak isteri dan anak menemaninya ke kawasan tasik tersebut untuk melakukan aktiviti memukat pada jam 12.30 tengah hari dengan menunggang motosikal.
“Mangsa dikatakan teruja mencari lokasi sesuai dengan membawa pukat manakala anak dan isterinya berteduh di sebuah pondok berhampiran ekoran hujan lebat.
“Selepas hujan reda, isterinya memanggil mangsa untuk makan namun panggilannya tidak disahut sebelum ternampak topi yang dipakai mangsa terapung di dalam tasik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Tambah Zaidy, bimbang sesuatu buruk menimpa suaminya, wanita berkenaan segera menghubungi bapa mertuanya untuk bantuan.
“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi tasik sebelum diangkat dengan bantuan orang awam.
“Hasil soal siasat mendapati pasangan itu pernah ke lokasi terbabit untuk tujuan sama pada Disember 2019 lalu. Selain itu, semakan rekod kesihatan mendapati mangsa menghidap penyakit sawan,” jelas beliau.
Menurut Zaidy, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.
MalaysiaGazette difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kelisa di sini pagi ini. – MalaysiaGazette