Home Nasional Pahang bakal menjadi negeri tua

Pahang bakal menjadi negeri tua

Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (tengah) menunjukkan hasil Banci Malaysia 2020 yang dibukukan mengikut kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

KUANTAN – Pahang menuju ke arah negeri menua apabila generasi tua berusia 60 tahun ke atas merekodkan sejumlah 137,927 orang bersamaan 8.7 peratus daripada populasi penduduk di negeri ini.

Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut berdasarkan hasil Banci Malaysia 2020 yang merekodkan lima daripada 11 daerah di negeri ini mempunyai penduduk menua.

Lima daerah terbabit merupakan Cameron Highlands dan Raub (7.3%), Bentong dan Bera (7.2%), serta Temerloh sebanyak (7.1%).

Manakala 21 daripada 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini juga mencatatkan rekod penduduk berusia 65 tahun.

“Antara daerah tertinggi merekodkan kadar usia 65 tahun ialah DUN Pelangai di daerah Kuala Lipis, DUN Guai di Bera dan DUN Kuala Sentul di Maran,” katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di Kuantan pada hari ini.

Jelas Mohd Uzir, penghijrahan generasi muda ke bandar untuk bekerja dan kadar kelahiran yang menurun menyebabkan faktor golongan warga emas meningkat.

Berdasarkan statistik itu, penduduk berusia 0-14 tahun berjumlah 424,611; 15-64 tahun (1,066,419), 65 tahun dan lebih (100,265) dan 60 tahun dan lebih (137,924).

Statistik daripada banci itu juga menunjukkan kadar kematian kasar sebanyak 8,673 bersamaan 5.2 peratus.

Manakala kadar kelahiran kasar di Pahang pula menunjukka 25,279 peratus bersamaan 15.1%, jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya sedang membangunkan platform data terbuka generasi baharu dikenali sebagai ‘Kawasanku’ yang mengandungi maklumat berkaitan profil demografi penduduk daripada hasil bancian tersebut.

Di Pahang, hasil bancian tersebut dibukukan menjadi 42 buah buku bagi kawasan DUN dan 14 kawasan parlimen.

Masyarakat boleh mengetahui maklumat kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi  negeri ini dengan mengakses Kawasanku menerusi https://kawasanku.dosm.gov.my/ – MalaysiaGazette