KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Kilometer 11, Lebuhraya Grand Saga (Lebuhraya Cheras-Kajang) arah ibu negara, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Farhan Zahari, 28, berpangkat inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Beliau berkata ketika kejadian pada 4.45 petang itu, sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun dari Hulu Langat menghala ke Jalan Kuchai Lama manakala Mohd Farhan yang juga dalam laluan sama, dari Maktab Polis Diraja Malaysia menghala balik ke rumah di Gombak.
Azman berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata kenderaan terlibat dibawa di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk pemeriksaan dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA