Home Nasional Peniaga makanan naik harga, KPDNHEP keluar lima notis

Peniaga makanan naik harga, KPDNHEP keluar lima notis

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bercakap dengan pelanggan mengenai harga barang ketika membuat tinjauan khas pemeriksaan harga premis kedai makan di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan lima notis terhadap peniaga makanan ketika Ops Pemantau Harga dijalankan di sebuah pusat membeli-belah terkenal hari ini.

Pengarah Pejabat KPDNHEP WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan susulan kenaikan harga di premis makanan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenaikan harga antara 10 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh enam bulan lalu.

“Kita akan tanya kenapa naik harga sedemikian dan kalau gagal membuktikan berpadanan, mereka boleh didakwa di bawah AKHAP 2011.

“Operasi ini dijalankan selepas pihak kami mendengar rungut kenaikan harga di sekitar ibu kota. Sebenarnya kami melakukan operasi setiap hari namun masih ada lagi pengguna yang tidak tahu,” katanya.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin bercakap kepada media selepas membuat tinjauan khas pemeriksaan harga premis kedai makan di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2022.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas Ops Pemantauan Harga di sini.

Operasi selama sejam setengah itu turut melibatkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Tindakan Pengguna Negara WPKL.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, operasi itu dilakukan bukan bertujuan untuk menutup premis kerana pihaknya memahami semua pihak termasuk golongan peniaga berdepan kesukaran untuk bangkit semula termasuk kekurangan kakitangan.

Justeru kata beliau,  golongan yang menaikkan harga akan diberi notis manakala isu lain akan diberi teguran untuk membuat pembetulan segera di mana pemeriksaan susulan akan dibuat oleh KPDNHEP.

“Jika susulan kedua mendapati perkara sama berlaku, kita akan ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan kalau bukan di bawah kuasa KPDNHEP, kita akan salur kepada agensi yang berkaitan.

“Dalam operasi ini menerusi maklum balas dengan pengguna, mereka tahu harga barang naik hingga 50 hingga 60 peratus namun tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

“Jadi saya nasihatkan kalau merasakan ketika beli barang, harganya melampau tinggi kenaikan, pengguna boleh membuat aduan kepada KPDNHEP selain kepada rakan kerjasama kami iaitu PPIM dan MTPN.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin melihat harga makanan ketika membuat tinjauan khas pemeriksaan harga premis kedai makan di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2022.

“Aduan dibuka selama 24 jam dan bukannya hendak menghukum peniaga tetapi untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Ariffin memberitahu, semua peniaga perlu bertimbang rasa dan bersyukur kerana mereka telah memdapat peluang kedua untuk bangkit beroperasi selepas pandemik Covid-19.

Sebelum ini jelasnya, selama dua tahun, KPDNHEP dan peniaga sama-sama berjuang untuk menaikkan semula pusat membeli-belah sehingga memohon kerajaan agar golongan itu boleh berniaga.

“Jadi bila dapat peluang ini, guna dengan kesyukuran kerana bila hendak menindas pengguna pun tidak sampai hati hendak buat.

“Itu nasihat saya kepada peniagaan iaitu bersyukur selepas bangkit daripada pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin melihat harga makanan ketika membuat tinjauan khas pemeriksaan harga premis kedai makan di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2022.