Home Nasional Petisyen BN cabar keputusan DUN Bukit Batu ditolak mahkamah, kemenangan PKR sah

Petisyen BN cabar keputusan DUN Bukit Batu ditolak mahkamah, kemenangan PKR sah

Barisan mewakili ADUN Bukit Batu, Manivanan, Chiong diwakili peguam Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Pilihan Raya hari ini telah menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN), Suppayah Solaimuthu yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Johor beberapa bulan lepas.

Hakim Azizul Azmi Adnan hari ini memutuskan untuk menerima bantahan dikemukakan oleh barisan peguam yang mewakili ADUN Bukit Batu, Chiong Sen Sern.

Mahkamah memutuskan bahawa petisyen Suppayah adalah rosak dan sebenarnya tidak mematuhi keperluan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya itu.

Dalam pada itu, Azizul mengarahkan Suppayah untuk membayar kos RM30,000 setiap seorang kepada Sen Sern dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika dihubungi, peguam mewakili Sen Sern, G Manivanan telah mengesahkan perkara tersebut kepada MalaysiaGazette.

Manivanan mendedahkan pihaknya telah melakukan bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya tersebut atas alasan ketidakpatuhan yang serius terhadap undang-undang berkenaan dengan petisyen pilihan raya.

“Bantahan-bantahan awal telah dihujahkan pada 30 Mei lalu dan hari ini mahkamah memutuskan untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan Suppayah,” katanya.

Sebelum ini,  Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran mendedahkan pihaknya akan mengemukakan petisyen bagi keputusan DUN Bukit Batu atas alasan undi rosak jauh lebih tinggi daripada majoriti yang diperoleh pemenangnya.

Calon BN dari parti MIC telah tewas dengan majoriti 137 undi sedangkan undi rosak difahamkan lebih 600.

Johor mengadakan pilihan raya negeri pada 12 Mac laku. Bagi kerusi Bukit Batu, Sen Sern dari PKR memperoleh 9,439 undi berbanding dengan Suppayah 9,302 undi.

Suppayah memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan tersebut pada 5 April lalu. -MalaysiaGazette