Home Utama Siasat kumpulan sokong hina Nabi Muhammad – MAPIM

Siasat kumpulan sokong hina Nabi Muhammad – MAPIM

Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Polis diminta menyiasat kewujudan kumpulan yang secara terbuka menyatakan sokongan menghina Nabi Muhammad SAW.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid mendakwa, menerusi sebuah rakaman yang tular, beberapa pemuda di kuil Hindu di Batu Caves menyatakan sokongan tersebut kepada ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) India.

“Apakah mereka itu warga Malaysia atau warga India.? perlakuan mereka adalah suatu intimidasi terhadap umat Islam di negara ini dan boleh mencetuskan ketegangan antara agama.

“Jika mereka adalah warga dari India, maka pihak polis dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap kehadiran mereka di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi menegaskan, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan pendatang yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini.

Pihak polis katanya, perlu menyiasat sama ada Malaysia telah dicerobohi oleh puak fanatik nasionalis Hindu dari kumpulan RSS di India yang kini melancarkan kempen kebencian terhadap Islam dan Muslim.

RSS adalah kumpulan aliran keras Hindu di India yang membawa ideologi Hindutva iaitu ketuanan Hindu, mengapi-apikan penganut agama Hindu untuk membunuh orang Islam di India.

“Adakah kumpulan ini sudah mengembangkan sayapnya di Malaysia ?

“Kami mendesak pihak polis tidak bertolak ansur dengan kumpulan ini…mereka perlu diambil tindakan mengikut undang-undang negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette