Home Nasional Tiada kelewatan pemberian buku teks KAFA – JHEAIPP

Tiada kelewatan pemberian buku teks KAFA – JHEAIPP

Rungutan ibu bapa mengenai kelewatan pemberian buku teks KAFA di Pulau Pinang tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menafikan dakwaan kelewatan penyerahan buku teks bagi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

JHEAIPP dalam satu kenyataan berkata, proses penghantaran buku teks tersebut berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sistem ini memang berjalan seperti dilaksanakan sebelum ini namun, disebabkan tahun ini sesi persekolahan bermula lewat iaitu pada bulan Mac menyebabkan ibu bapa merasakan sudah hampir setengah tahun sesi sekolah bermula tetapi buku masih belum disediakan.

“Sesi persekolahan KAFA Pulau Pinang bermula 27 Mac 2022 dan untuk tiga bulan pertama persekolahan (27 Mac hingga 27 Jun) setiap pelajar dibekalkan dengan buku modul SALAM.

”Buku modul SALAM ini merupakan kandungan pelajaran asas kepada setiap murid mengikut tahun persekolahan masing-masing dan ia juga merupakan bahan pembelajaran sehingga akhir Jun ini,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, bermula Julai ini semua murid akan mula menggunakan buku teks KAFA bagi sesi pembelajaran seterusnya.

“Buku-buku teks KAFA tersebut dalam proses penghantaran ke sekolah dan ia dijangka selesai sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rungutan ramai ibu bapa terhadap JHEAIPP yang didakwa lambat memberikan buku teks KAFA kepada anak-anak mereka.

Rata-rata mereka mendakwa kelewatan pemberian buku teks itu menjejaskan pembelajaran anak masing-masing. – MalaysiaGazette