MELAKA – Isu ketiadaan rumah bot untuk menempatkan bot dan peralatan nelayan di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, dijangka berakhir melalui rancangan membina sebuah balai nelayan berpusat melibatkan kos lebih RM20 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, balai berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300 nelayan sepanjang 2.5 kilometer pesisir pantai berkenaan menggantikan lima balai nelayan kecil sedia ada.
Menurut beliau, rancangan itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan imej pantai pelancongan tersebut yang semakin mendapat perhatian pengunjung dalam dan luar negara menghabiskan cuti di negeri bersejarah ini.
“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sekarang sedang kaji untuk bina penempatan berpusat menggantikan balai nelayan sedia ada agar semuanya dapat diselaraskan dan tiada lagi ‘pemandangan cacat’ bot-bot nelayan diletakkan secara berasingan di pantai ini.
“Kita cadangkan lokasi pusat balai nelayan itu di tengah-tengah Pantai Puteri di antara lima balai atau jeti nelayan ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 300 nelayan melibatkan kos pembinaan lebih RM20 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di tapak rumah nelayan di Pengkalan Perigi, Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini, yang musnah sejak lebih 11 tahun lalu menyebabkan bot nelayan terpaksa diletakkan sesuka hati tanpa tempat khas.
Mengulas lanjut Tuminah berkata, balai nelayan berpusat itu akan dilengkapi dengan stor yang membolehkan nelayan menyimpan semua barangan keperluan mereka tanpa perlu bimbang rosak akibat terdedah di bawah cuaca panas atau hilang dihanyutkan ombak.
“Saya memang hendak projek ini disegerakan kerana ia antara senarai yang terkandung dalam manifesto saya sebelum dilantik menjadi wakil rakyat di sini selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.
“Bagaimanapun ia memerlukan masa agak lama kerana perlu melalui pelbagai proses terutamanya perbincangan dengan semua persatuan nelayan untuk mendapatkan persetujuan selain pelbagai agensi berkaitan,” katanya.
Jelasnya, antara agensi terbabit selain LKIM adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
SebPada 9 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan hampir 70 nelayan di Pantai Puteri merayu kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah bot yang musnah dipukul ribut sejak 11 tahun lalu.
Wakil nelayan, Abdul Zamzuri Abdullah, 52, dipetik berkata, keadaan itu menjadikan kira-kira 12 rumah nelayan di Pengkalan Perigi, Pantai Rombang terdedah kepada cuaca hujan dan panas menjadikanya lebih cepat rosak berbanding sebelum ini.
Menurutnya, lebih buruk, keadaan itu mencacatkan pemandangan pantai pelancongan berkenaan apabila lebih 10 bot nelayan terpaksa diletakkan sesuka hati kerana ketiadaan ruang parkir yang sesuai. – Malaysia Gazette