Home Nasional Calon SPM 2021 antara kohort paling terkesan pandemik Covid-19

Calon SPM 2021 antara kohort paling terkesan pandemik Covid-19

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berbual bersama pelajar selepas menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) Tahun 2021 di SMK Presint 18 (1), Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 16 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 adalah kohort paling terkesan akibat pandemik Covid-19 pada 2020.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, mereka bukan sahaja terkesan sewaktu di Tingkatan Lima tetapi sejak Tingkatan Empat lagi kerana tidak dapat belajar secara fizikal di sekolah seperti kohort 2020.

“Selain itu, cabaran utama bagi calon SPM 2021 mereka antara kohort pertama yang menggunakan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah), iaitu satu format baharu dalam mata pelajaran.

“Maka ia sesuatu yang baharu bagi mereka serta keseluruhan sistem. Alhamdulilah kita lihat secara keseluruhannya, mereka dapat memonopoli peperiksaan ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1), di sini, hari ini.

Tambah Radzi, buat pertama kali SPM 2021 mengadakan dua sidang peperiksaan bagi pengasingan calon yang disahkan positif Covid-19 dan kuarantin dapat menduduki peperiksaan.

“Jika kita lihat jumlah murid yang menduduki sidang kedua pada tahun ini, ia jauh lebih tinggi daripada murid yang menduduki sidang kedua tahun lalu.

“Apa pun, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan dapat dikeluarkan dalam tempoh lebih kurang mana yang kita ambil tahun lepas.” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPM 2021 merupakan tahun kedua pemarkahan secara atas talian dilaksanakan melibatkan lima juta skrip peperiksaan dalam hampir semua mata pelajaran.

Bagaimanapun, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan penambahbaikan proses ini untuk kohort akan datang.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang telah bertungkus lumus memastikan SPM 2021 berjalan dengan lancar. – MalaysiaGazette.