KUALA LUMPUR – Malaysia masih pada landasan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini.
Namun, keadaan sangat mencabar, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan terus memantau situasi untuk memastikan tindak balas monetari dan fiskal sesuai dapat dilaksanakan.
“Keadaan ini bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Fasa 1 Laluan MRT Putrajaya di Stesen MRT Sri Damansara hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditanya sama ada ekonomi Malaysia terheret sama dengan ekoran keadaan di Amerika Syarikat yang diramal mengalami kemelesetan.
Katanya, ekonomi Amerika Syarikat masih belum menunjukkan kemelesetan cuma pertumbuhan ekonominya yang sederhana.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia pasti akan terkena tempias dengan situasi yang berlaku di negara-negara ekonomi kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. – MalaysiaGazette