Home Nasional Ibu tunggal hidap kanser sebak raikan anak dapat 9A

Ibu tunggal hidap kanser sebak raikan anak dapat 9A

Siti Khajura mengucup anaknya yang meraih keputusan SPM 9A di SMK Bukit Rambai di sini hari ini.

MELAKA – “Kejayaan anak inilah menjadi hadiah terindah untuk saya meneruskan hidup walaupun doktor mengesahkan peluang hidup saya sebagai pesakit kanser amat tipis,”.

Itu nada sebak diluahkan ibu tunggal Siti Khajura Badros, 49, yang juga pesakit kanser perut tahap empat mengenai kejayaan anak lelakinya,Muhammad Shamil Aiman Norsham, 18 meraih keputusan 9A bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai di sini hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka masalah keluarga yang dihadapinya sehingga terpaksa membesarkan sendiri tiga daripada empat anak-anaknya membawa rezeki kepada kejayaan anak keduanya itu.

“Kalau hendak diceritakan, terlalu besar ujian hidup saya namun saya sentiasa berpesan kepada Aiman supaya sentiasa positif dalam belajar demi mengubah nasib hidup.

“Hari ini, Allah telah ‘bayar’ segala pengorbanan itu malah menjadi penguat semangat saya untuk meneruskan hidup walaupun peluang untuk saya pulih dari kanser hanyalah 50-50.

“Saya selalu berdoa, sebelum Allah cabut nyawa saya, biarlah anak-anak saya habis belajar dahulu,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di SMK Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Sebahagian pelajar SMK Bukit Rambai yang meraih keputusan cemerlang SPM 2021.

Sementara itu, Muhammad Shamil Aiman berkata, pesanan ibunya untuk mengetepikan segala masalah keluarga dan hanya fokus terhadap pelajaran sentiasa menjadi keutamaannya sehingga mampu meraih keputusan 9A 1B.

“Tekanan masalah keluarga itulah yang menjadi kekuatan bagi saya sehingga sanggup bangun seawal jam 5 pagi untuk mengulangkaji pelajaran.

“Saya juga amat bersyukur kerana guru dan rakan-rakan sekolah juga banyak membantu sehingga mampu meraih kejayaan ini.

“Inilah hadiah yang mampu saya berikan kepada ibu yang terlalu banyak berkorban untuk saya selama ini,” katanya yang meraih 9A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Seni Visual, Perniagaan, Ekonomi dan Sains Sukan selain B+ bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. – MalaysiaGazette