Home Nasional Imbuhan skuad Harimau Malaysia, PM akan bincang dengan Menteri, FAM

Imbuhan skuad Harimau Malaysia, PM akan bincang dengan Menteri, FAM

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob selepas menaiki perkhidmatan bas percuma pada Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain skuad Harimau Malaya.

Perdana Menteri menjelaskan, perbincangan itu melibatkan sama ada imbuhan akan diberikan secara terus kepada pemain atau disalurkan FAM.

“Sewaktu dalam majlis di Bangi semalam, ada media tanya adakah akan diberikan sebarang imbuhan kepada pemain Harimau Malaya yang berjaya bawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 selepas 42 tahun.

“Jawapan saya, saya akan bincang dengan Menteri Belia dan FAM. Kita tak tahulah imbuhan macam mana, sama ada akan diberi diberikan terus kepada pemain atau kepada FAM.

“Sebab saya dimaklumkan oleh Presiden FAM, skuad ini perlu mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan di luar negara sebelum Piala Asia dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di sini, hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan imbuhan kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk beraksi di Piala Asia 2023.

Kata beliau, perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta FAM akan diadakan bagi mempertimbangan imbuhan itu.

“Insya-Allah saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, mungkin akan ada keraian dan sumbangan dari kerajaan atau sebagainya buat skuad Harimau Malaya yang berjaya memecahkan penantian 42 tahun beraksi di Piala Asia,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, memandang Malaysia sudah berada di Top Four dalam Asia, skuad Harimau Malaya perlu berlawan secara persahabatan dengan pasukan yang kuat dan berkualiti.

Ini kerana, katanya, jika pasukan bermain dengan pasukan yang lebih rendah kualitinya, ia tidak akan membawa banyak perubahan kepada skuad negara.

“Pastinya kita kena bermain dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih kuat daripada kita.

“Regu kita mesti lebih kuat daripada kita, macam badminton, regu lawannya mesti lebih kuat daripadanya.

“Saya difahamkan, FAM akan bawa pemain ini mungkin (berlawan) dengan Korea, Jepun atau pasukan dari negara Arab yang dianggap sebagai team yang kuat,” kata beliau.

Mengenai kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikritik teruk, Ismail Sabri berkata, ia akan diperbaiki dan dinaik taraf dengan rumputnya akan ditukar.

“Keadaan padang dah pun diumumkan, ia akan diperbaiki, dinaik taraf. Mungkin rumput akan ditukar dan mulai semalam, padang telah ditutup untuk pembaikan.

“Harap tak ada isu lagi mengenai padang kerana kerajaan telah bersetuju dan Kabinet telah luluskan untuk baikpulih,” ujarnya. – MalaysiaGazette