Home Rencana Kehilangan gigi risiko nyanyuk

Kehilangan gigi risiko nyanyuk

NYANYUK atau demensia merupakan masalah kognitif yang merangkumi pelbagai fungsi fikiran, bukan sahaja masalah ingatan jangka pendek atau panjang. Ia juga melibatkan masalah pengurusan diri seharian, kesukaran merancang, masalah emosi, kehilangan semangat atau upaya membuat sesuatu, masalah orientasi (masa, tempat atau kepada individu), masalah perubahan tingkah laku, perubahan personaliti dan pelbagai lagi aspek kognitif. Ia seringkali disalahkaitkan dengan proses penuaan yang lazim berlaku tetapi anggapan ini tidak tepat sama sekali kerana ia bukanlah proses penuaan yang normal.

Secara lazimnya 1 dalam 100 orang di dalam populasi akan menghidap penyakit dementia, risiko ini meningkat mengikut umur dimana mereka yang berumur lebih dari 80 tahun akan mempunyai risiko sebanyak 40%. Terdapat pelbagai jenis penyakit nyannuk ini. Penyakit nyanyuk yang paling lazim di lihat adalah penyakit Alzheimer dan demensia vaskular. Penyakit Alzheimer ini disebabkan oleh perubahan sel tisu dan struktur otak. Manakala, penyakit demensia vaskular di mana ia melibatkan salur darah otak yang lazimnya ada kaitan dengan penyakit strok.

Sehingga kini tiada lagi ubat untuk penyakit nyanyuk dan mereka yang menghidapi penyakit nyanyuk ini tidak dapat dipulihkan. Secara lazimnya ubat ingatan untuk penyakit Alzheimer seperti Donepezil dan Memantine diguna untuk memperlahankan kadar penerukan penyakit nyanyuk. Ini juga mungkin boleh membantu di dalam fungsi seharian mereka. Penyakit nyanyuk dijangkakan meningkat kerana dunia mengalami peningkatan jangkaan umur hidup. Pada permulaan seseorang yang mengalami nyanyuk masih boleh berdikari sendiri dan menjalani kehidupan harian hampir normal.

Namun, keadaan nyanyuk akan bertambah menjadi sederhana dan seterusnya teruk. Aktiviti harian akan terjejas dan kualiti kehidupan akan merosot. Kajian menunjukkan tiada lagi ubat yang boleh memulihkan penyakit nyanyuk. Maka kini, kajian banyak menjurus kepada langkah pencegahan dengan mengenal pasti faktor yang boleh memperlahankan kondisi nyanyuk atau mungkin sekali mencegah kejadian nyanyuk.

Banyak kajian menunjukkan mereka yang mengalami nyanyuk mempunyai keadaan kesihatan mulut dan gigi yang rendah akibat dari kurang kemampuan menguruskan diri sendiri. Kesihatan mulut dan gigi merosot selari dengan pertambahan tahap demensia mereka. Mereka juga dilaporkan mempunyai bilangan kehilangan gigi yang tinggi. Di tambah pula kehilangan gigi bukan sahaja dikaitkan dengan kesihatan mulut, tetapi juga dengan masalah kesihatan tubuh badan secara amnya. Diantara mekanisme kehilangan gigi yang dikatakan berpotensi untuk memberi kesan negatif kepada fungsi kognitif adalah seperti
berikut.

Pertama: masalah kesihatan gusi dan struktur sokongan gigi yang membawa kepada keradangan gusi, dan seterusnya kepada kehilangan gigi. Pada peringkat keradangan gusi inilah, keadaan tersebut mampu meningkatkan tahap pengantara elemen keradangan di dalam darah yang kemudiannya menyumbang kepada gangguan proses keradangan saraf dalam otak
dan akhirnya mengakibatkan penurunan kognitif.

Kedua: gangguan kepada fungsi fizikal pengunyahan akibat kehilangan gigi boleh menyebabkan cara pengambilan pemakanan nutrisi yang tidak baik dan mengurangkan aliran darah ke bahagian otak yang mungkin dikaitkan dengan masalah ingatan. Ini disokong oleh beberapa kajian ke atas haiwan yang menunjukkan kehilangan gigi mungkin boleh mendorong penurunan dan mencetuskan masalah kognitif.

Kajian telah menunjukkan hubungan rapat antara kehilangan gigi yang disebabkan oleh masalah penyakit gusi dan struktur sokongan dengan penyakit nyanyuk. Oleh yang demikian ini menunjukkan bahawa kehilangan gigi mungkin merupakan salah satu faktor risiko yang boleh menyebabkan kejadian masalah nyanyuk. Kehilangan gigi merupakan faktor yang boleh diubah suai untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian demensia. Maka penjagaan gigi dan gusi adalah penting dan perlu diberi perhatian.

Gusi yang sihat berwarna merah jambu dan tidak mudah berdarah ketika gigi diberus atau makan. Gusi mudah menjadi radang sekiranya tidak dibersihkan dengan betul. Gusi amat sensitif kepada kotoran seperti tahi gigi yang berada di sekeliling gigi. Pada peringkat awal, radang gigi boleh dikawal dengan mengamalkan kerbersihan mulut dan gigi iaitu dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekiranya kekotoran dikeliling gigi tidak dibersihkan dengan baik, keradangan akan bertambah dan akan mengakibatkan gusi menjadi merah dan mudah berdarah. Sistem sokongan gigi pula akan mudah terjejas dan mengakibatkan gigi menjadi longgar. Rawatan dari doktor dan pakar gigi adalah amat perlu bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk dan seterusnya kehilangan gigi.

Pada peringkat keradangan yang teruk inilah banyak elamen keradangan di keluarkan dan bakteria terkumpul dan memasuki sistem sistemik badan. Oleh yang demikian, kesihatan gigi dan gusi perlu di beri perhatian agar gigi kekal bersama gusi yang sihat dan dapat mengurangkan kemungkinan risiko masalah kognitif serta masalah kesihatan lain yang mungkin berkaitan seperti gangguan kepada pemakanan sihat. Dapatkan nasihat dan rawatan dari doktor dan pakar pergigian agar kesihatan mulut dan gigi sentiasa dalam keadaan sihat. Mulut merupakan permulaan kepada sistem penjanaan makanan seseorang, baik keadaanya maka baiklah kesihatan badan, buruk keadaannya maka terjejaslah kesihatan badan seseorang.

Oleh: Profesor Madya Dr Normaliza Ab Malik
Pakar Pergigian Restoratif
Fakulti Pergigian
USIM

Dr Ahmad Izzat Ahmad Tajjudin
Pakar Psikiatri
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan