KUALA LUMPUR – Ketua Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Foziah Nawawi, 74, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) petang semalam.
Allahyarhamah meninggal dunia akibat mengidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan kegagalan organ berfungsi dimasukkan ke wad PPUM minggu lalu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya kira-kira jam 12 tengah hari ini.
Allahyarhamah meninggalkan empat anak dan 10 cucu, bergiat aktif dalam parti UMNO dan Parti Melayu Semangat 46 (S46) sebelum berhenti dan terlibat secara langsung dalam NGO Perkasa sejak 2008.
Menurut Presiden Perkasa, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang sepanjang hari mengurus jenazah sehingga dikebumikan berkata, arwah seorang yang komited dalam perjuangan Perkasa.
Katanya, terlalu banyak pengorbanannya dari segi tenaga, masa dan wang ringgit sejak dari awal bersama Perkasa.
“Arwah juga seorang ketua yang penyabar dan penyayang, selain disenangi semua pimpinan tertinggi Wiranita Perkasa dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa Malaysia.
“Dia juga sangat aktif menggerakkan aktiviti Wiranita Perkasa pusat dan sering turun ke bawah berjumpa pimpinan Wiranita Perkasa akar umbi,” katanya di sini, hari ini.
Allahyarhamah Foziah merupakan bekas pemimpin Wanita UMNO Bahagian, bekas pemimpin Wanita S46 Pusat dan kembali menyertai UMNO semula sebagai ahli biasa.
Selepas itu beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Perkasa pada 2008, memegang jawatan Naib Ketua Wiranita Penaja Perkasa dan diangkat sebagai Ketua Wiranita Perkasa Malaysia mulai 2016.
“Arwah adalah seorang pemimpin wanita yang sentiasa bersabar dan beralah, bersifat seperti seorang ibu, kakak dan rakan karib kepada semua peringkat usia kepimpinan.
“Hampir keseluruhan program Perkasa Pusat dihadiri olehnya, melainkan uzur. Ini menjadikan arwah sangat disegani oleh semua kepimpinan yang lebih muda darinya.
“Ketiadaannya adalah satu kehilangan besar bagi Perkasa. Tambahan pula, arwah banyak menyumbangkan masa tenaga dan wang ringgit demi perjuangan Islam serta bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette