Home Nasional Mahkamah benarkan keluarga Beng Hock mulakan prosiding semakan kehakiman

Mahkamah benarkan keluarga Beng Hock mulakan prosiding semakan kehakiman

Mendiang Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan mendiang keluarga Teoh Beng Hock memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelesaikan kes kematian tersebut.

Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Menurut peguam mewakili keluarga mendiang, Ramkarpal Singh, pihaknya telah memohon beberapa pengisytiharan termasuk mengakui polis cuai dalam tugas mereka untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh yang munasabah.

Kata Ramkarpal, dalam afidavit mereka menyatakan polis gagal melengkapkan siasatan kematian Beng Hock walaupun keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada keluarga itu pada 2014.

Keluarga Beng Hock iaitu bapanya, Teoh, Leong Hwee, 74, dan ibunya, Teng Shuw Hoi, 69 telah memohon perintah supaya Ketua Polis Negara (KPN) menyelesaikan siasatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Antara yang telah dinamakan sebagai responden termasuk Kerajaan Malaysia, KPN dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pada 2014, tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematian Beng Hock adalah disebabkan perbuatan seseorang atau beberapa individu tidak dikenali, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai SPRM adalah yang terakhir menyoalnya sebelum Beng Hock ditemui mati pada keesokan harinya di Plaza Masalam.

Keluarga Beng Hock telah diberikan pampasan ganti rugi sebanyak RM600,000 atas kecuaian sehingga berlakunya kematian mendiang.

Dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 mendedahkan Beng Hock yang juga pembantu politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah terdorong untuk membunuh diri susulan soal siasat yang agresif oleh SPRM.

Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009. Ibu pejabat SPRM Selangor berada di tingkat 14 di bangunan yang sama mendiang di soal siasat SPRM. -MalaysiaGazette