PUTRAJAYA – “Belajar ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) lebih memudahkan saya memahami dengan mendalam untuk persediaan menduduki Sijil Pelajaran Malaysian (SPM),”.
Itu yang dinyatakan calon SPM 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1), Aiman Zafri Sani Zuhairi, 18, yang memperolehi keputusan cemerlang 8A dan 1B pada hari ini.
Kata Aiman, walaupun tidak dapat belajar secara fizikal bersama guru seperti sebelum ini namun ia tidak menghalang beliau untuk menimba ilmu melalui carian di internet.
“Saya target dapatkan semua A tapi legalah dengan keputusan hari ini. Tips paling bagus ialah daripada tingkat 1 hingga 5, saya menggunakan satu website ini iaitu khanacademy. Banyak ilmu yang saya dapat dari situ dan digunakan sehingga SPM.
“Sebenarnya carian di internet lagi memudahkan dan banyak info boleh digunakan, Saya belajar dalam bahasa Inggeris. Saya juga lebih suka belajar ketika waktu PKP sebab boleh susun jadual saya sendiri bila ingin belajar, buat kerja rumah atau main game.
“Kalau ditanya suka belajar kumpulan atau sendirian, saya gemar belajar sendiri sebab mudah faham berbanding berkumpulan. Ia akan terganggu,” katanya pada pemberita selepas menerima keputusan SPM 2021 hari ini.
Sementara itu, ibu kepada Aiman Zafri, Hizlinda Tohid, 47, berkata, dia amat gembira dengan keputusan SPM anaknya itu kerana percaya sikap displin yang diamalkan Aiman Zafri memberi impak terbaik dalam pembelajaran.
“Saya tidak perlu pantau banyak sangat pada dia ini sebab dari kecil lagi Aiman memang ada disiplin diri sendiri, mungkin jadual belajar dia tidak seperti orang lain yang perlu dipantau setiap masa. Dia ada sikap bertanggungjawab dan boleh buat sendiri.
“Kalau letih dia akan tidur awal dan belajar sendiri tanpa perlu tuisyen. Kita sebagai ibu bapa cuma beri sokongan dan sediakan apa yang dia perlukan. Saya memang banggalah dengan keputusan SPM yang diperolehi hari ini. Sebagai ibu bapa, kita tidak perlu bagi tekanan padanya,”ujarnya.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette turut menemu bual seorang lagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 8A iaitu Irzaty Batrisyia Ibrahim yang tidak menyangka mampu mendapat keputusan baik.
“Sebenarnya target 7A sahaja tapi alhamdulillah tidak sangka dapat 8A. Saya gembira sangat sebab dapat gembirakan mak, ayah dan cikgu. Semua ini berkat doa mereka dan selalu buat solat dhuha sepanjang belajar dalam tempoh PKP ini.
“Saya juga masuk kelas tuisyen online dan selalu ikuti kelas malam yang cikgu sediakan, jadi bagi saya itu antara penyumbang yang membuatkan saya mampu mendapat keputusan terbaik hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, bapanya, Ibrahim Esa, 54, turut meluahkan rasa gembira apabila anak bongsunya daripada lima beradik itu berjaya mendapat keputusan cemerlang walaupun terdapat pelbagai cabaran ketika belajar sepanjang tempoh PKP.
“Sebagai ibu bapa, kami memang berbangga dengan pencapaian anak saya yang bongsu ini, masa dia belajar kita nampak dia memang rajinlah, dia juga seorang anak yang baik tapi kita sebagai keluarga selalu terap selepas solat mesti mengaji Al-Quran.
“Saya rasa didikan yang diamalkan sejak kecil, amat membantu. Orang kata anugerah dari Allah memudahkan dia belajar tapi dari segi susunan pembelajaran dia, saya serah dirinya. Sepanjang PKP, memang nampak dia selalu berusaha bersungguh-sungguh.
“Kami juga selalu beri pesanan dan motivasi pada dia, bahawa ilmu ini amat penting dan jangan jadikan untuk tidak ingin berjaya, perlu berusaha lebih keras,” ujarnya. – MalaysiaGazette