Home Nasional Polis tahan 4 lelaki sokong ahli politik India, hina Nabi Muhammad

Polis tahan 4 lelaki sokong ahli politik India, hina Nabi Muhammad

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan . Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyatakan sokongan kepada ahli politik parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma, yang menghina Nabi Muhammad, di India seperti yang tular dalam aplikasi TikTok baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, semua suspek warganegara Nepal berumur di antara 26 hingga 27 tahun ditangkap oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada 16 Jun di kawasan Meru, Klang.

“Turut dirampas daripada suspek ialah peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkecenderungan menghasut, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam.

Dalam masa yang sama, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Mengulas lanjut Abd Jalil berkata, polis masih meneruskan usaha mengesan suspek yang bebas.

“Polis menggesa individu yang terlibat dalam rakaman video tersebut tampil bagi membantu siasatan

“Orang ramai yang mempunyai pengetahuan mengenai kejadian juga diseru untuk menyalurkan maklumat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” tambah beliau.-MalaysiaGazette