Home Nasional Saya tidak relevan? Itu pendapat dia – Mahathir

Saya tidak relevan? Itu pendapat dia – Mahathir

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada media selepas Majlis memorandum Persafahaman Pejuang Muda Malaysia dan Silver Gold Collector Group di IOI Conezion Centre, Putrajaya. Foto MUHD N'IM, 16 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak berhak membuat apa sahaja ulasan yang menyifatkannya  tidak relevan dalam arena politik tanah air ketika ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, tuduhan yang dilemparkan Najib Razak mengenai dirinya merupakan pendapat peribadi beliau.

“Saya tidak relevan? Itu pendapat dia (Najib). Orang lain mungkin ada pendapat lain.

“Dia (Najib) mempunyai hak untuk menganggap sesiapa sahaja sebagai tidak relevan,” kata Mahathir dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib bahawa bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu sudah tidak relevan.

“Tempat atuk (Dr Mahathir) kempen di Ayer Hitam pun hilang deposit. Maknanya dia sudah tidak relevan lagi.

“Tapi saya suka dia ratib nama saya sebab rakyat sudah bosan. Rakyat dah meluat. Rakyat nak tahu apa yang kita akan buat untuk rakyat.

“Sebab itulah, apapun yang dia (Dr Mahathir) serang peribadi akhirnya soal penentu pilihan raya (ialah) apa yang kita boleh buat untuk rakyat. Dan dalam hal ini, tidak ada parti yang boleh lawan dan menggantikan BN,” kata Najib semasa berucap pada Majlis Konvensyen Barisan Nasional di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 1 Jun lalu.

Sementara itu, Mahathir yang diminta mengulas mengenai jemputan yang diterima Najib bagi menghadiri satu majlis di istana berkata, ia dilihat sebagai ‘sokongan’ terhadap Najib.

“Pendapat saya pesalah tidak sepatutnya dijemput ke Istana Negara. Tindakan itu tidak betul dan tidak molek kerana ia melihatkan sokongan daripada pihak istana,” jelasnya.

Pada Julai 2020, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan disabitkan kesalahan di Mahkamah Tinggi atas tujuh pertuduhan berkait penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta.

Pada 4 Mei lalu, Najib menerima undangan Hari Raya Aidilfitri daripada Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang. – MalaysiaGazette