KUANTAN – Seramai 300 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang mendapat A dalam semua subjek.
Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, keputusan memberangsangkan itu menyaksikan Gred Pencapaian Negeri (GPN) tahun ini sebanyak 4.74, mengatasi peringkat kebangsaan.
“Seramai 299 calon mendapat semua A (A+/A/A-) bagi semua subjek dan seorang calon mendapat semua A+ dalam semua mata pelajaran.
“Bagi kategori Layak Sijil (LS), seramai 15,039 calon dengan 88.42 peratus layak mendapat sijil SPM 2021 melibatkan 41 sebuah sekolah,” katanya pada sidang sidang media pengumuman keputusan SPM 2021 Peringkat Negeri Pahangdi Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Pahang, Abdul Rahim Mat Yunus dan Naib Canselor Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Prof Madya Datuk Dr, Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Tambah Rosli, sebanyak lima dari 105 calon berkeperluan khas (CBK) memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam subjek.
Sementara itu, seramai 24 calon murid Orang Asli daripada 616 calon mendapat keputusan 5A (A+/A/A-). Seramai 13 calon mendapat 5A, empat calon mendapat 6A dan 7A, serta seorang calon memperoleh 8A, 9A dan 11A.
“Walaupun pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan pelbagai kesukaran kepada pelajar Orang Asli daripada segi akses PsPr, tetapi prestasi murid Orang Asli tetap membanggakan,” katanya,
Manakala 10 sekolah di negeri ini mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) kurang daripada 2.25, di mana tiga buah sekolah daripadanya terdiri daripada sekolah harian dan tujuh lagi merupakan sekolah berasrama penuh. – MalaysiaGazette