MELAKA – Seorang bapa mendakwa anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik seorang lelaki berjubah putih dalam kejadian di Jalan Baru Kampung Krubong, Krubong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 45 tahun yang mendakwa anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik ketika pulang dari mengaji sekitar jam 6 petang.
Menurutnya ketika itu, dua anak perempuannya serta seorang anak saudara perempuannya sedang dalam perjalanan pulang dari mengaji melalui Jalan Baru Kampung Krubong.
“Mangsa anak keduanya berusia enam tahun kemudian dikatakan telah ditegur seorang lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna silver sebelum merentap tangannya masuk ke dalam kenderaan.
“Tindakan itu bagaimanapun berjaya dihalang kakak mangsa dan sepupunya sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri manakala ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan lari menyelamatkan diri ke rumah ibu saudaranya tidak jauh dari situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya hasil siasatan lanjut, mangsa memberitahu dia dipelawa menaiki kereta suspek yang memakai kopiah dan berjubah warna putih.
Suspek kemudian didakwa menarik tangan mangsa sebelum berjaya diselamatkan kakak dan sepupu perempuannya.
Tambah Christopher, bapa mangsa yang berkerja kilang juga mendakwa terdapat orang awam berselisih dengan kenderaan suspek dan melihat nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
Bagaimanapun jelasnya, hasil semakan dua jenis nombor yang kemungkinan dilihat saksi mendapati, ia adalah palsu dan tidak sama dengan jenis kenderaan digunakan suspek.
“Semakan Jabatan Pengangkutan Jalan melalui sistem mendapati, dua jenis nombor pendaftaran kenderaan yang dicam saksi mendapati ia berdaftar atas kenderaan jenis Nissan Cefiro berwarna biru dan motosikal jenis Honda.
“Saksi juga mengesahkan Proton Persona berwarna silver yang dinaiki suspek bercat hitam di bahagian pintu pemandu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya polis meminta kerjasama orang ramai yang mungkin menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman jenayah itu untuk ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.