KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan di sebuah bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan direman empat hari bermula hari ini disyaki berkomplot berkaitan tuntutan palsu insurans kemalangan kereta pada tahun lalu.
Perintah reman terhadap wanita itu dikeluarkan oleh Majistret Sabreena Bakar @ Bahari selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Pekerja berusia 39 tahun itu antara individu terbaharu yang direman selepas tiga lagi suspek termasuk seorang pejawat awam telah direman pada 15 Jun lalu.
Menurut sumber, wanita itu yang juga eksekutif tuntutan di bengkel itu telah ditahan pada pukul 10.18 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Dia telah mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kenderaan jenis Perodua Alza.
“Tuntutan itu dibuat ke atas kereta seorang penama dipercayai seorang wanita sedangkan tiada tuntutan dilakukan penama itu.
“Perbuatan itu dikatakan dilakukan pada Mac tahun lalu bersama tiga suspek lain yang telah direman,” katanya.
Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung dalang disebalik komplot tuntutan palsu ini masih dijalankan.
Tambah sumber, seorang daripada tiga suspek yang sebelum ini direman telahpun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kelmarin MalaysiaGazette melaporkan, tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam direman antara dua hingga empat hari bermula 15 Jun bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu insurans kemalangan kereta pada tahun lalu. – MalaysiaGazette