Home Sukan FIFA benar Perak FC daftar pemain import

FIFA benar Perak FC daftar pemain import

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa.

KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak Perak akhirnya menerima berita gembira apabila Kelab Bola Sepak Perak (PFC) mengumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menarik balik larangan perpindahan terhadap pasukan tersebut.

Perkembangan itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi kelab selepas PFC menerima emel daripada FIFA.

Badan induk dunia itu menyatakan telah menerima surat-menyurat daripada pemiutang, bahawa dana yang terhutang telah dipindahkan ke akaun masing-masing mengikut Perkara 13, Peraturan yang Mentadbir Prosedur Jawatankuasa Status Pemain dan Penyelesaian Pertikaian Dewan.

PFC sebelum ini dikenakan sekatan perpindahan ekoran kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemainnya beberapa bulan lalu.

Namun, isu tersebut berjaya diselesaikan selepas kelab tersebut diambil alih oleh pemilik baharu iaitu XOX Berhad.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM dan MFL atas bantuan serta bimbingan mereka.

“Agenda ini adalah keutamaan kami, untuk memastikan kelab dapat mendaftar pemain yang berkaliber.  Malangnya, penyokong terpaksa mengharungi sesi pertama musim ini dengan skuad terhad dan potongan mata.

“Ini menunjukkan komitmen kami untuk memastikan Perak FC dapat mengekalkan sejarah 101 tahunnya, lalu melangkah ke kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Jangan lupa, usaha gigih pemain junior dan muda kita yang telah mencuba yang terbaik pada sesi pertama musim ini,” tambahnya,” kata Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Dengan pembatalan sekatan perpindahan ini, Perak FC bakal membawa masuk pemain import baharu yang beraksi di posisi tengah bertahan, tengah dan penyerang.

Penyerang dimaksudkan ialah Stipe Plazibat yang merupakan pemain berpengalaman luas dalam kancah bola sepak di Asia Tenggara.

Dia sebekum ini beraksi selama empat musim di Singapura dan setahun bersama Bangkok Glass  di Thailand.

Pada musim terakhirnya pada 2020/21 di Singapura ketika menyarung jersi Lion City Sailors, Plazibat berjaya menjaringkan 14 gol dalam 17 penampilannya bersama kelab tersebut.

Selain Lion City Sailors, Plazibat turut pernah beraksi bersama Home United dan Hougang United.

Lebih menarik mengenai pemain berusia 32 tahun ini, dia merupakan teman baik kepada bintang Croatia, Ivan Perisic yang mana mereka bermain bersama selama sembilan tahun di peringkat remaja.

Kedua-dua mereka merupakan produk keluaran Akademi Hajduk Split.

Sementara itu, dua lagi pemain yang bakal diuji menentang Christian Seoul University pada Ahad nanti ialah Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah bertahan kelahiran Nigeria, Sunday Kolawole Afolabi.

Pada masa sama,  Perak yang akan turut mendaftarkan 14 pemain tempatan baharu antaranya Indra Putra Mahayuddin, Syamim Yahya dan Wan Zack Haikal Wan Nor. – MalaysiaGazette