KUALA LUMPUR- “Filem bukan rujukan sejarah” – itu yang dijelaskan pelakon Beto Kusyairi ketika ditanya mengenai kontroversi berhubung fakta dalam filem terbaharu lakonannya, Mat Kilau- Kebangkitan Pahlawan.
Beliau yang merupakan antara teraju utama filem itu berkata, Mat Kilau-Kebangkitan Pahlawan adalah hiburan dan medium untuk memaparkan semangat, keberanian dan perjuangan pahlawan ternama Pahang itu semasa menentang penjajahan British.
“Jika kita hendak jadikan rujukan atau hendak ikut sejarah, bukan filem tempatnya.
“Kita perlu merujuk kepada pakar (sejarah), kepada buku yang tepat.
“Ini (filem Mat Kilau-Kebangkitan Pahlawan) adalah medium untuk kita sampaikan kepada penonton tentang semangat pejuang-pejuang Melayu tanah air, keberanian, perjuangan mereka untuk mendapatkan keadilan dan kemerdekaan pada waktu itu.
“Itu paling penting sekali. Saya harap penonton dapat merasakan kepayahan dan kesusahan perjuangan mereka untuk mendapatkan apa yang kita ada sekarang ini.
“Kita tidak akan dapat merasai semua ini tanpa pengorbanan mereka,” katanya ketika ditemui semasa Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Mat Kilau-Kebangkitan Pahlawan, malam tadi.
Menerusi filem arahan Syamsul Yusof itu, Beto Kusyairi memegang watak Wahid iaitu watak rekaan seorang saudara dan sahabat Mat Kilau yang setia dengan setiap keputusan yang dibuat pahlawan ternama itu.
Selain handal bersilat, Wahid juga mahir bermain senjata seperti sabit dan parang.
Sementara itu, penerbit filem Mat Kilau-Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mt Dali berkata, Mat Kilau menampilkan contoh sifat kelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman.
Mat Kilau katanya, seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, budaya Melayu, matang, berakhlak mulia, berani serta sedia berkorban untuk mempertahankan tanah air.
“Kesilapan pada sejarah perlu diperbetulkan. Mat Kilau adalah tokoh yang mempertahankan tanah air dan bukan pemberontak seperti yang dilabelkan kerajaan British.
“Jasa besar tokoh ini perlu dikenang zaman dan menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat,” beliau yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara yang menerbitkan filem itu berkata demikian dalam satu kenyataan.
Filem Mat Kilau-Kebangkitan Pahlawan akan menemui penonton 23 Jun ini di semua pawagam di seluruh negara.
Filem yang berinspirasi kisah Mat Kilau itu meliputi 70 peratus fakta sejarah dan 30 peratus fiksyen.
Ia menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau di samping Beto, Fattah Amin sebagai Awang dan nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali dan Nam Ron.
Ia turut menampilkan pelakon terkenal Indonesia, Yayan Ruhian yang pernah membintangi filem Hollywood, Star Wars: The Force Awaken.- MalaysiaGazette