KUANTAN – Kerajaan Persekutuan masih belum memutuskan jumlah pampasan bagi kawasan hutan yang dikekalkan sebagai hutan simpan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya membincangkan perkara berkaitan pada sesi pertemuan pertama diadakan di Putrajaya pada tahun lalu selepas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita sudah menyatakan hasrat kerajaan Pahang berkaitan perkara ini dan perjumpaan dan juga sudah dimulakan, cuma setakat ini jumlah masih belum diputuskan.
“Perkara ini adalah sangat wajar memandangkan 57.07 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan negeri Pahang tidak diusik dan dikekalkan sebagai hutan simpan,” katanya.
Beliau berkata pada dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Pahang di Maran, hari ini.
“Walaupun Pahang kehilangan hasil selepas aktiviti pembalakan atau perlombongan sumber mineral di kawasan terbabit tidak dibenarkan, tetapi pengekalan hutan simpan ini memberi pelbagai manfaat, khususnya untuk sumber bekalan air.
“Justeru pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air itu cukup penting selain daripada menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang bagi menampung keperluan pengguna di negeri berjiran seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas Wan Rosdy.
Perdana Menteri pada November tahun lalu menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan memberikan sejumlah pampasan kepada Pahang.
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan pada masa sama tidak membebankan Kerajaan Persekutuan.
Difahamkan pampasan layak diterima Pahang melebihi RM150 juta setahun dan perlu diberi pertimbangan dan Wan Rosdy memohon Kerajaan Persekutuan membangunkan formula yang adil dan mudah bagi menyegerakan proses bayaran pampasan secara tunai.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Wan Rosdy ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 Tahun 2022 yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Kuantan pada 13 Jun lalu.- MalaysiaGazette