KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mengkaji dan meneliti 147 undang-undang yang sudah lapuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob berkata, kajian itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi undang-undang secaa signifikan.
“Saya telahpun mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.
“Transformasi undang-undang ini perlu dilakukan segera kerana keadaan telahpun berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa.
“Penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya selepas merasmikan Jubli Emas Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, hari ini.
Jelas Ismail Sabri lagi, langkah itu seiring dengan teknologi digital hari ini yang semakin pesat membangun memandang terdapat undang-undang sedia ada tidak lagi relevan.
“Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.
“Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette