Home Seni Hidup Tiket Konsert Wings di DFP habis dalam masa 15 minit

Tiket Konsert Wings di DFP habis dalam masa 15 minit

Wings.

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock Wings membuktikan keunggulan apabila jualan tiket konsert di Dewan Filhamonik Petronas (DFP) yang bakal berlangsung pada 15 Julai depan habis dijual dalam tempoh 15 minit, semalam.

Sebanyak 850 tempat duduk di dalam panggung berprestij membabitkan tiket berharga RM250 hingga RM650 langsai ditempah peminat tegar grup ikonik itu dalam jangka masa singkat.

Band ikonik yang kekal ampuh sejak melakar nama di pentas hiburan pada 1987 itu bakal menggegarkan DFP dengan repertoir malar segar menerusi Konsert Fabulous Friday.

Wings merupakan artis buka panggung bagi acara anjuran Shiraz Project tersebut yang dijadualkan diadakan setiap bulan dengan pemilihan selebriti tempatan dan luar negara.

Vokal bertenaga Awie atau Datuk Azhar Othman akan bergandingan melodi bersama rakan seperjuangan lain termasuk Black, Eddie, Sham dan Edrie Hashim.

Konsert Fabulous Friday Wings yang meraih sokongan MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam. – MalaysiaGazette