Home Nasional Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB

Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menerima dana sebanyak RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018, seperti yang dinyatakan bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan Siong Sun di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Muhyiddin yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri berkata, ketika itu beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
Katanya, tugasan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan.
“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dakwaan tersebut dilakukan Tan yang merupakan saksi pada perbicaraan yang membabitkan Ahmad Zahid yang menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Menurut Muhyiddin, pada tarikh tertentu yang yang dinyatakan Tan yang mendakwanya menerima sogokon wang tunai beliau menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
Tambah beliau, berikutan itu adalah mustahil untuknya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan sedemikian.
“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya,” ujarnya.
Jelasnya, beliau tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berikutan itu, Muhyiddin berharap pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara tersebut supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap beliau. – MalaysiaGazette