Home Nasional Paderi mengaku tidak bersalah 17 pertuduhan mencabul, merogol

Paderi mengaku tidak bersalah 17 pertuduhan mencabul, merogol

KUANTAN – Seorang paderi mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan mencabul dan merogol kanak-kanak perempuan sejak dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Raub, hari ini.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kepada Kok Chaw Fatt, 64 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh seluruh badan dan kemaluan tanpa kerelaan mangsa yang berusia 17 tahun 2 bulan ketika itu di sebuah gereja di Bentong kira-kira jam 2 petang Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa pada Mei 2020 di sebuah rumah di Taman Anggerik Height pada jam 4.30 petang.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan perbuatan yang sama termasuk memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa pada Jun 2020 di sebuah rumah di Taman Syahbandar Height pada jam 4.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Chaw Fatt juga didakwa melakukan perbuatan merogol terhadap mangsa berlanjutan sehingga 14 bulan daripada Januari hingga Disember 2020, serta Januari hingga Februari 2022 di sebuah rumah di Taman Syahbandar Height sekitar jam 4.30 petang.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala Lee Tee Kiat selaku peguambela tertuduh.

Ketika prosiding pihak pendakwa meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sebagai wang jaminan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan, tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Namun peguambela tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan anak guamnya kerana amaun yang besar.

Ahmad Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,500 iaitu RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette