KUALA LUMPUR – Tarikh tutup permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet bertaraf satu dan dua bintang dilanjutkan sehingga 30 Jun ini, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sebelum ini, permohonan bagi geran tersebut dibuka dari 25 Mei hingga 15 Jun.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, pelanjutan berkenaan bagi memastikan geran padanan itu dipohon oleh pengusaha yang layak dan yang tidak berpeluang untuk mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum ini.
“Dengan pelanjutan tarikh tutup ini, mana-mana pengusaha hotel bajet bertaraf satu dan dua bintang yang layak masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan kelulusan,” menurut MOTAC.
Permohonan geran padanan boleh dilakukan menerusi laman https://www.motac.gov.my/geran-padanan.
MOTAC berharap pemberian geran padanan itu dapat membantu pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis mereka bagi menarik lebih ramai pelancong datang menginap.
Melalui pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan geran padanan sebanyak RM30 juta bagi tujuan pembaikan inap desa (Homestay) dan hotel bajet di bawah MOTAC. – MalaysiaGazette