Home Politik PFP mahu bertanding di Pulau Pinang dan Kedah pada PRU15

PFP mahu bertanding di Pulau Pinang dan Kedah pada PRU15

Patrick Ooi.

GEORGE TOWN – Penang Front Party (PFP) akan bertanding sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen di Pulau Pinang serta Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Antara 10 kerusi yang bakal ditandingi PFP ialah Alor Setar dan Kulim bagi negeri Kedah manakala Batu Uban dan beberapa kerusi DUN di bahagian Pulau.

Pengerusi PFP, Datuk Patrick Ooi berkata, pihaknya berharap parti mewakili kerajaan serta pembangkang akan memberi laluan kepada mereka untuk membawa suara rakyat di DUN dan parlimen.

Jelasnya, ini bagi memastikan bukan suara satu parti saja mewakili persidangan seperti mana di Pulau Pinang.

“Kerajaan Pulau Pinang dia boleh buat apa saja yang disukai kerana majoriti suara mereka yang akan dibahas berbanding aduan atau masalah rakyat.

“Dalam 15 tahun memerintah negeri ini kita hanya dengar mereka (DAP) mahu bina terowong dasar laut namun tiada sebarang pembangunan dilakukan berbanding ketika pemerintahan parti Gerakan iaitu Kompleks Tun Abdul Razak dan Jambatan Pertama Pulau Pinang.

“Bagi negeri Kedah pula, kita  buat keputusan untuk bertanding selepas ada isu berbangkit mengenai anti alkohol, anti judi memandangkan adat resam setiap bangsa kita perlu dijaga kerana ini merupakan negara majmuk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai calon yang akan bertanding mewakili parti tersebut, Patrick berkata, pihaknya kini dalam perbincangan termasuk menyediakan calon muda menjelang PRU15.

“Kita kalau boleh nak generasi muda menjalankan tugas memimpin negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Patrick menegaskan, pihaknya sedia menggantikan MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kita boleh kerjasama dengan mana-mana pihak cuma di Pulau Pinang kita boleh gantikan MCA kerana parti itu kalah semua kerusi di lokasi pengundi majoriti Cina.

“PFP ini merupakan sebuah parti yang boleh menyertai Keluarga Malaysia kerana kita lakukan pelbagai perkara demi kepentingan rakyat bukan sekadar cakap mulut,” ujar beliau.

Parti PFP ditubuhkan pada tahun 2014 bagi menentang DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan PRU14 merupakan penampilan sulung parti itu dalam PRU.

PFP kini mempunyai hampir 5,000 ahli di sekitar wilayah utara. – MalaysiaGazette