KUALA LUMPUR – Kemampuan meraih satu mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain mengikat tiga import baharu menjadikan Sabah FC berwaspada dengan cabaran Sri Pahang FC menjelang aksi minggu ke-10 Liga Super, esok.
Ujar ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau menjangkakan Sri Pahang di bawah Christophe Gamel akan hadir dengan kekuatan lebih baik di Stadium Likas.
Tambahnya, ini akan menjadi cabaran tersendiri buat Sabah bagi kekal konsisten selepas mereka berjaya berada di tangga kedua Liga Super selepas mengharungi tujuh perlawanan.
“Kita dapat tengok bagaimana Sri Pahang semasa perlawanan terakhir berdepan JDT, mereka hampir meraih mata penuh sebelum diikat saat akhir.
“Ditambah dengan pemain-pemain import baharu, sudah tentu Sri Pahang akan bertambah baik dari apa yang kita pernah saksikan.
“Jadi, saya mengharapkan kami mampu terus konsisten dari segi persembahan apabila berdepan dengan Sri Pahang jika mahu teruskan kekalkan kedudukan seperti sekarang.
“Jika kita boleh konsisten dalam tiap perlawanan dengan berikan apa yang dikehendaki, keputusan yang positif akan datang secara automatik.
“Namun, jika hari ini kami bermain baik dan esok sebaliknya, maka kedudukan kami juga akan berubah,jadi kata kuncinya adalah konsisten,” katanya.
Sri Pahang telah mengikat Andres Steven Rodriguez, Kevin Ingreso dan Sherzod Fayziev bagi menggantikan Johan Martial, Billy Ketkeophomphone serta Mahmoud Za’tara.
Namun, tiada perubahan buat Sabah pada pintu perpindahan kedua pemain bagi hadapi baki saingan Liga Super 2022.
Dalam masa sama, Kim Swee mendedahkan kecergasan Gary Steven Robbat sedang berada di tahap terbaik selepas beraksi cemerlang membantu Sabah menewaskan Penang FC, bulan lalu.
“Gary seorang pemain yang sangat berpengalaman dan ada kekuatan berbeza dengan pemain tengah yang lain.
“Berdepan Penang iaitu aksi terakhir sebelum liga berehat tempoh hari, Gary telah bermain selama 90 minit dan itu ujian yang cukup penting kepadanya malah dia banyak menggerakkan pasukan.
“Cuma, saya tidak mahu terburu-buru menggunakan Gary dalam tiap perlawanan kerana kita tahu sejarah kecederaannya yang kronik selama ini.
“Namun, Gary sentiasa bekerja keras dan mengikuti dengan baik proses pemulihan yang telah disediakan, saya harap dia dapat teruskan momentum dalam perlawanan seterusnya jika diturunkan,” katanya. – MalaysiaGazette