KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mengadakan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi memastikan pekerja sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, tahun ini dunia bukan sahaja masih berdepan dengan pandemik Covid-19, bahkan bencana alam yang telah berlaku di beberapa tempat di negara ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.
Justeru, UMS akan terus memperkasakan pelan kesiapsiagaan dan tindakan kecemasan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana di universiti ini.
Taufiq berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS tahun 2022 dan Sambutan Ulang Tahun ke-10 Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS, di sini, baru-baru ini.
Menurut Taufiq, UMS berpotensi menjadi model untuk persekitaran kerja yang selamat dan sihat, dan ini akan menjadi contoh kepada Institusi Pengajian Tinggi dan lain di Malaysia untuk melaksanakan OSH Management System.
“Usaha gigih kakitangan PKKP dengan kerjasama semua warga UMS telah meningkatkan kesedaran warga UMS tentang kepentingan KKP dalam aktiviti seharian,” katanya.
Untuk rekod, antara pencapaian cemerlang PKKP adalah menjadikan UMS salah sebuah universiti awam yang menerima pengiktirafan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bertaraf antarabangsa bagi standard OH-SAS 18001:2008 dan MS 1722:2011 sejak tahun 2015, seterusnya migrasi kepada standard ISO45001:2018 pada tahun
2021. – MalaysiaGazette