KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil beberapa individu yang hadir dan menyertai perhimpunan Walk Judicial Independence “yang telah diadakan di Padang Merbok, ibu negara semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka akan dipanggil pada minggu hadapan untuk membantu siasatan polis dalam kes tersebut.
“Kami sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan yang disertai seramai lebih kurang 220 individu yang terdiri daripada Ahli Majlis Peguam dan beberapa individu daripada mereka sudah pun dikenalpasti untuk dipanggil hadir.
“Kita akan panggil semua individu yang berperanan sebagai penganjur himpunan itu bermula minggu hadapan untuk dirakam keterangan oleh polis di IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazettte tengahari tadi.
Tambah beliau kertas siasatan telah dibuka dan sedang disiasat di bawah Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 dan Peraturan 7, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endamik) 2022.
Semalam, lebih kurang jam 9 hingga 11.22 pagi, sekumpulan peguam berhimpun di tempat letak kereta Padang Merbok
Mereka turut dikesan memegang plakad dan banner bertulis “Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman.
Perhimpunan tersebut bermula dengan ucapan daripada beberapa pemimpin Majlis Peguam sebelum berarak ke arah Bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi pihak Ismail Sabri.
Bagaimanapun, pergerakan mereka tidak dibenarkan oleh polis dan hanya sejumlah kecil pemimpin dibenarkan untuk menyerahkan memorandum itu sekitar jam 11 pagi.-MalaysiaGazette