Home Nasional JPNP siasat kontraktor bawa keluar balak, empat ditahan

JPNP siasat kontraktor bawa keluar balak, empat ditahan

Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merampas balak di Hutan Simpan Tekai Tembeling, Jerantut pada 16 Jun lalu

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) masih meneruskan siasatan kegiatan penyelewengan kayu lelongan oleh kontraktor yang dilantik di tapak tempat mengumpul balak atau matau di Hutan Simpan Tekai Tembeling, di Kuala Tahan Jerantut.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan syarikat yang mengeluarkan balak sitaan bernilai lebih RM1 juta dalam pemeriksaan pada 15 dan 16 Jun lalu.

Kejadian ini berlaku selepas  pekerja kontraktor terbabit disyaki mengambil kesempatan menebang dan mengeluarkan balak baharu yang tidak tersenarai dalam tender.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Shahril berkata, JPNP berjaya mengesan dua lori disyaki membawa muatan balak menyalahi undang-undang kerana tidak mempunyai tanda tukul.

Sehubungan itu, seramai empat pekerja ditahan bersama kira-kira 70 tan balak bermutu tinggi seperti  merbau, mersawa dan kempas di Hutan Simpan Tekai Tembeling, Jerantut.

Katanya, empat individu warga tempatan berumur antara 48 hingga 59 tahun ditahan ketika serbuan dilakukan dan mereka terdiri tiga pemandu lori dan seorang pemandu jentera penyangga.

Hasil pemeriksaan Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Barat JPNP mendapati sindiket tersebut menceroboh dan menebang balak di Kompartmen 26 Hutan Simpan Tekai Tembeling.

Kesemua yang ditahan boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan dan cubaan memindahkan hasil hutan tanpa permit.

“Pihak JPNP masuk kedalam hutan yang berhampiran dan hasil siasatan mendapati ada kesan tolakan jalan dan tebangan baharu di hutan itu, kita syak mereka ambil kayu dari situ selain menemui kesan tebangan haram.

“Siasatan dan pemeriksaan lanjut dijalankan, kini kita masih belum habis semak dan tengah teliti dalam siasatan sama ada tunggul yang ditemui sama dengan jenis balak yang ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

JPNP  turut menyita tiga buah jentera termasuk dua lori balak dan sebuah penyangga yang digunakan ketika proses mengangkut balak. – MalaysiaGazette