Home Utama Lupus kereta 10 tahun ke atas cadangan berat sebelah – NGO

Lupus kereta 10 tahun ke atas cadangan berat sebelah – NGO

Keadaan trafik sesak menghala ke Kuala Lumpur berikutan orang ramai mula pulang balik ke bandaraya selepas cuti Deepavali semasa Gambar Hiasan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Cadangan sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar kereta di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dianggap berat sebelah.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan Mohammad Hisham Shafie, cadangan tersebut yang telah pun dikemukakan sejak 15 tahun lalu membebankan pengguna.

Mohammad Hisham Shafie

Tambah beliau, melupuskan kenderaan berusia 10 tahun ke atas tidak akan menyelesaikan isu kesesakan jalan raya terutama di ibu negara.

Beliau menegaskan terdapat pelbagai cara untuk menangani masalah kesesakan jalan raya.

“Antara cara untuk menangani masalah tersebut termasuklah pihak kerajaan harus menambahkan jumlah lebuh raya yang ada sekarang dan tidak bergantung kepada konsesi yang sedia ada.

“Sekarang dari utara hingga selatan hanya berharap dengan satu konsesi sehinggakan kebajikan pengguna diabaikan walaupun kesesakan di lebuh raya berjam-jam setiap kali pengguna mengguna perkhidmatan berbayar itu,” katanya hari ini.

Kerajaan juga katanya, perlu membina lebih banyak jaringan pengangkutan awam di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Contohnya perkhidmatan bas perlu dinaik taraf, keperluan bas mini moden bagi mengambil penumpang di kawasan perumahan, bas yang lebih selesa yang mesra pengguna.

“Perkhidmatan komuter, LRT , MRT dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi menarik minat orang ramai menaikinya.

“Justeru apa juga cadangan dan pandangan yang dikemukan mengenai cara mengatasi kesesakan jalan raya harus diambil kira dan diperhalusi sebaiknya oleh pihak yang terlibat agar rakyat dapat menjalani kehidupan lebih sihat dari segi mental dan fizikal,” tegas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, kumpulan penyelidik yang diketuai Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail berkata, polisi melupuskan kenderaan berusia 10 tahun bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.

Pelupusan kereta lama juga menurut beliau, dapat membantu pemilik menjimatkan wang daripada terus mengeluarkan belanja untuk membaiki kerosakan kereta lama yang sudah berusia lebih 10 tahun.

Selain itu, tindakan ini turut dapat membantu melestarikan alam sekitar kerana kadar emisi karbon daripada kereta lama selalunya lebih tinggi berbanding kereta baharu.-MalaysiaGazette