Home Politik Shabudin tak bertanding PRU15, beri peluang pada anak muda

Shabudin tak bertanding PRU15, beri peluang pada anak muda

BAYAN LEPAS – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin muda lain dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding mewakili parti itu sebagai calon.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang itu menjelaskan, beliau akan bergiat dalam politik meskipun tidak memegang jawatan wakil rakyat.

“Keputusan ini dibuat secara sukarela tanpa melibatkan isu perebutan kerusi. Saya melihatnya sebagai satu langkah untuk membuka lebih banyak pintu kepada pemimpin muda lain dalam parti untuk ke hadapan.

“Lagipun sudah empat penggal saya menjadi wakil rakyat yang mana dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri manakala dua penggal bagi parlimen, jadi saya rasa sudah sampai masa untuk beri laluan kepada orang muda memimpin.

“Saya terbuka dan sudah tentu saya akan membantu calon-calon dari parti saya  yang bakal bertanding kelak,” katanya ketika ditemui di Hotel Eastin di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi Parlimen Tasek Gelugor yang disifatkan sebagai ‘kerusi panas’ beliau berpendapat individu yang bercadang bertanding di Tasek Gelugor cenderung menganggap ia kawasan selamat.

Tegas Shabudin, individu yang mahu bertanding secara bidang terjun di Tasek Gelugor tidak boleh membeli pengundi dengan wang ringgit, sebaliknya perlu memahami kehendak mereka  yang majoriti terdiri daripada penduduk asal.

“Status selamat atau tidak sesuatu kawasan itu bukan macam dulu lagi. Ia berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada prestasi sesebuah parti. Kalau penyatuan parti-parti tertentu ini tidak kukuh dan kuat, belum tentu parti berkenaan boleh menang.

“Selain itu, faktor calon turut memainkan peranan penting kerana 80 peratus pengundi kawasan itu merupakan penduduk asal yang mahukan pemimpin yang dikenali, selain tahu kehendak rakyat di sana secara tidak langsung mempengaruhi kemenangan.

“Kalau ramai sangat yang berminat bertanding di Tasek Gelugor mereka perlu melihat faktor sebegini bukan kerana hanya ada duit terus mahu jadi wakil rakyat di sana walhal orang belum mengenali mereka,” kata Shabudin.

Shabudin sebelum ini merupakan wakil rakyat mewakili UMNO yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor bagaimanapun, beliau mengumumkan keluar dari parti itu bagi menyertai Bersatu pada Disember 2018. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.