Home Nasional Terima dana UKSB: Muhyiddin perlu didakwa seperti Zahid

Terima dana UKSB: Muhyiddin perlu didakwa seperti Zahid

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu didakwa di mahkamah kerana namanya turut disebut menjadi penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii yakin Tun Dr Mahathir Mohamad mengetahui tentang perkara ini.

Bagaimanapun beliau mendakwa, Mahathir menyembunyikan perkara berkenaan ketika Pakatan Harapan (PH)  mentadbir.

Razlan menyifatkan, tindakan Mahathir membuktikan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu tidak berteraskan keadilan sebaliknya  hanya mahu menjatuhkan UMNO.

“Kepada Tun Mahathir, sekian lama rakyat tahu perangai dan tingkah laku kamu yang membenci UMNO dan akan bertindak kejam terhadap UMNO, hari ini, terbukti sudah, bahawa kamu melepaskan Tan Seri Muhyddin dari didakwa kerana beliau adalah sekutu kamu, bukan keadilan yang dicari, tapi dendam yang menjadi keutamaan.

“Negara hari ini bercelaru, sistem kehakiman digunakan untuk melepaskan mereka yang menjadi sekutu, sistem mahkamah digunakan dan diarah mengikut telunjuk demi memuaskan nafsu politik PH (PPBM, PKR, DAP dan sekutu lain)

“Hakim-hakim yang dilantik dizaman PH, masih memegang jawatan, bagaimana perlu diperbaiki sistem ini? Tiada jalan mudah, kemusnahan yang dicipta bukan boleh diperbaiki dalam waktu terdekat, kebangkitan secara menyeluruh oleh rakyat adalah jawapannya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut mendakwa, bekas Peguam negara Tan Sri Thommy Thomas terlibat dengan penutupan penglibatan Muhyiddin sebagai penerima dana.

“Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, sudah pasti tahu maklumat bahawa Tan Sri Muhyddin merupakan watak yang menerima duit dari UKSB. Thommy Thomas sebagai Peguam Negara sudah pasti tahu bahan kes dan siapa yang terlibat,” tambah beliau.

Semalam dilaporkan, nama Muhyiddin disebut sebagai salah seorang penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), UKSB.

Muhyiddin didakwa menerima dana tersebut kurang sebulan kembali ke Putrajaya sebagai Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika PH menjadi kerajaan selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Nama-nama tersebut didedahkan saksi pendakwaan ke-17 (SP17), David Tan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menunjukkan kandungan buku lejar disimpan dalam sebuah pendrive.- MalaysiaGazette