Home Nasional Warga emas miliki dadah cuba suap polis RM4,000

Warga emas miliki dadah cuba suap polis RM4,000

Rampasan wang tunai dan dadah daripada seorang warga emas di Brickfields baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang ditangkap kerana memiliki dadah, turut dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana cuba merasuah polis supaya melepaskannya.

Lelaki tempatan berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam pada 17 Jun lalu di hadapan sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Brickfields.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam di dalamnya mengandungi satu plastik lutsinar yang berisi tiga plastik lutsinar kecil disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 5 gram dan dua paket berwarna coklat di dalamnya mengandungi serbuk dadah disyaki jenis MDMA seberat 85 gram.

Kesemuanya bernilai RM5,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek telah menawarkan wang sogokan dan cuba memberi rasuah wang tunai sebanyak RM4,000 kepada polis bagi melepaskannya untuk kesalahan memiliki dadah.

Suspek telah diberi amaran sebanyak tiga kali agar tidak berbuat demikan namun tidak dipedulikan.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari bermula 18 Jun 2022 sehingga 22 Jun 2022 untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh
membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Katanya, polis merampas wang tunai sebanyak RM4,000 daripada suspek.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada lebih kurang 20 orang pengguna dadah.

Amihizam berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan
maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan dan kerjasama daripada masyarakat amatlah dihargai bagi mengekang dan menghapuskan aktiviti pengedaran dadah khususnya di kawasan pentadbiran
IPD Brickfields. – MalaysiaGazette