Home SISWA Yishal penuntut UMS raih Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021

Yishal penuntut UMS raih Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021

KOTA KINABALU – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Institute of Accountants (MIA) menerusi Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik 2021.

Yishal Thillinadan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) UMS menerima anugerah berkenaan sempena MIA International Accountants Conference (MIAC)
2022 yang dianjurkan secara dalam talian, baru-baru ini.

Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

Beliau ketika dihubungi meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas anugerah yang diterimanya.

”Menerima anugerah ini merupakan detik paling membanggakan dalam perjalanan pengajian saya. Saya berasa sangat bertuah menerima penghormatan ini.

”Saya juga percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak,” tambahnya.

Yishal yang berasal dari negeri Selangor kini sedang menjalani latihan praktikal di KPMG Petaling Jaya, sebuah firma audit antarabangsa.

Beliau berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam bidang akademik serta penglibatan kokurikulum.

”Pencapaian akademik semata-mata tidak akan membawa kita pergi lebih jauh, apa yang lebih penting adalah kebolehan berkomunikasi yang mampu ditimba daripada penglibatan dalam kokurikulum dan kesukarelawan,” jelasnya. – MalaysiaGazette