Home Sukan Brendan pencetus kemenangan 7-0 Selangor ke atas Sarawak United

Brendan pencetus kemenangan 7-0 Selangor ke atas Sarawak United

Pemain Selangor FC, Brendan Gan meraikan jaringan pertama bersama rakan pasukan pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kapten Selangor FC, Brendan Gan, yang kembali bersama pasukan selepas setahun setelah dihidapi kanser, menjadi pencetus kemenangan besar 7-0 skuad Gergasi Merah ke atas Sarawak United pada aksi Liga Super, malam ini.

Pemain berusia 34 tahun itu, memulakan kenduri gol seawal minit ketujuh buat Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, apabila mengegarkan jaring dengan merembat masuk bola hantaran Quentin Cheng.

Aksi itu merupakan perlawanan liga pertama buat Brendan yang disahkan menghadapi kanser testis pada Julai tahun lepas.

Jaringan tersebut terus menyemarakkan skuad Gergasi Merah apabila penyerang import dari Brazil, Hyuri Henrique mengandakan jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan, hasil sepakan penjuru Mukhairi Ajmal Mahadi.

Skuad tuan rumah memastikan mereka terus menghukum pasukan zon penyingkiran itu apabila seorang lagi penyerang import dari Brazil, Herlison Caion melengkapkan hantaran silang Hein Htet Aung pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, pengendali Michael Feichtenbeiner terus mengantikan Brendan dengan Muhamad Syahir Bashah dalam memburu kemenangan ketiga musim dalam aksi keenam musim ini`.

Skuad Gergasi Merah meneruskan kenduri gol apabila Nor Hakim Hassan meledak gol keempat dalam situasi satu lawan satu menentang penjaga gol Sharbinee Allawee pada minit ke-51.

Pemain Selangor FC, Herlison Caion menjaringkan gol ketiga pasukan pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2022.

Caoin kemudian menjadi wira hatrik buat Selangor apabila meledak dua lagi jaringan, masing-masing pada minit ke-74 dan 88.

Dengan benteng pertahanan Sarawak United terus kucar kacir, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menambah derita mereka menerusi jaringan pada masa kecederaan (90+2) untuk melengkapkan kemenangan penuh bergaya tersebut.

Kemenangan itu membantu Selangor melonjak daripada kedudukan kelapan ke tempat keenam carta dengan 11 mata manakala Sarawak United berada di kedudukan ke-11 daripada 12 pasukan dengan hanya mengumpul tujuh mata selepas 10 aksi setakat ini. – Bernama