Home Nasional Garaj dijadikan bengkel, tujuh kenderaan terbakar

Garaj dijadikan bengkel, tujuh kenderaan terbakar

Empat buah kenderaan musnah manakala tiga lagi rosak dalam kebakaran di sebuah garaj yang dijadikan bengkel kenderaan di Pulau Gadong, Melaka, 12.20 tengah hari tadi.

MELAKA – Empat buah kenderaan musnah manakala tiga lagi rosak dalam kebakaran di sebuah garaj yang dijadikan bengkel kenderaan di Pulau Gadong, di sini, tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Harun berkata, kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu mengakibatkan tiga buah kereta, sebuah motosikal dan tiga basikal kanak-kanak hangus manakala tiga kereta rosak akibat terkena bahang api yang marak.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 12.25 tengah hari sebelum empat buah jentera dari BBP Melaka Tengah, BBP Cheng dan BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 21 anggota.

“Sebaik tiba di Blok A, Rumah Awam Jalan Pulau Gadong, didapati kebakaran kereta di dalam garaj terbuka berkeluasan 40×40 kaki persegi yang dijadikan tempat membaiki kenderaan.

“Akibatnya, tiga buah kereta jenis Proton Wira, Toyota Estima dan Perodua Myvi serta sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan tiga buah basikal kanak-kanak musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota bomba melihat salah satu daripada empat buah kenderaan musnah manakala tiga lagi rosak dalam kebakaran di sebuah garaj yang dijadikan bengkel kenderaan di Pulau Gadong, Melaka, 12.20 tengah hari tadi.

Tambahnya, tiga buah kenderaan lain yang diletakkan berhampiran garaj iaitu sebuah Proton Wira, Proton Persona dan Honda Civic turut mengalami kerosakan lima peratus akibat terkena bahang api.

“Semua pemilik kenderaan terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pemilik bengkel dan operasi memadam kebakaran tamat pada jam 2.45 petang.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette