Home Nasional Kes HFMD di Melaka turun hampir separuh

Kes HFMD di Melaka turun hampir separuh

JASIN – Kes penyakit kaki, tangan, dan mulut, (HFMD) di Melaka mencatatkan penurunan hampir 50 peratus setakat 11 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jumlah penurunan sebanyak 47.6 peratus menyaksikan sebanyak 695 kes, berbanding 1,461 kes yang direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-23.

“Penurunan kes ini sekaligus menunjukkan keberkesanan kempen pencegahan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

“Tambahan pula, statistik HFMD kita tidaklah begitu serius kerana peratusan kemasukan pesakit di wad juga sangat rendah malah tiada satu pun pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Merlimau Berpeluh, di Bandar Merlimau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Muhamad Akmal berkata, premis seperti tadika, taska serta pusat jagaan harian adalah premis tertinggi dikesan berlakunya wabak HFMD iaitu sebanyak 44 kes.

“Jabatan Kesihatan negeri akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan berkala, bagi mengekang wabak ini daripada terus menular.

“Semua Pejabat Kesihatan Daerah juga perlu memastikan semua kes diambil tindakan segera termasuk menjalankan siasatan dan aktiviti kawalan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Tambahnya, masyarakat juga diharap dapat terus mengamalkan kebersihan kawasan persekitaran untuk mengelakkan jangkitan HFMD.