Home Nasional Siasat dakwaan syarikat peroleh kontrak babitkan menteri, bekas menteri – Anwar

Siasat dakwaan syarikat peroleh kontrak babitkan menteri, bekas menteri – Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang didakwa memperoleh kontrak kerajaan secara mencurigakan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyarankan perdana menteri dan menteri sumber manusia supaya bertindak segera berikutan perkara tersebut membabitkan menteri dan bekas menteri.

“Perkara ini ternyata terus menggugat kepercayaan dan menanam curiga dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu-isu penyelewengan dan kepincangan.

“Isu sebesar ini semestinya menuntut tindakan yang tuntas dan pantas, terutamanya dari Perdana Menteri kerana ia melibatkan nama menteri dan mantan menteri yang berkaitan, dari PM dan juga Menteri Sumber Manusia. ,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, perkara tersebut mustahak kerana ia turut melibatkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta tekad dan iltizam dalam menghentikan kebobrokan.

“Pernah saya suarakan di Parlimen sebagai perhambaan moden di mana pekerja diperas sementara pedagang dan agen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar.

“Saya menuntut siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua syarikat tersebut terkait urusan mencurigakan bagi memperoleh kontrak daripada kerajaan,” katanya.

UKSB adalah syarikat yang disebut dalam perbicaraan mahkamah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan sistem visa luar negara.

Sementara itu, SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap nama-nama yang didakwa menerima wang dalam keterangan saksi perbicaraan kes Zahid.

Badan penguatkuasa undang-undang itu turut mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. – MalaysiaGazette