Home Nasional 15 OKU terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPWKM

15 OKU terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPWKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan anugerah kepada (OKU), Ibrahim Majid pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di The Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 20 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meraikan seramai 15 Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kementerian itu.

Mereka sebahagian daripada kesemua 642 orang penerima APC yang diraikan kementerian itu hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, penerima OKU itu terdiri daripada pegawai dan kakitangan sokongan KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara.

Mereka terdiri daripada pelbagai kategori ketidakupayaan termasuk OKU fizikal dan pertuturan namun kekurangan itu bukan halangan untuk mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam melaksanakan tugasan.

“Jumlah 15 penerima OKU meningkat daripada 11 penerima pada tahun sebelumnya dan kejayaan mereka juga menjadikan iltizam kepada kakitangan lain untuk turut mempamerkan prestasi kerja cemerlang,” katanya.

Jumlah itu merupakan kira-kira 2.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 642 penerima APC bagi tahun 2021 yang terdiri daripada warga kementerian iaitu seramai 22 orang, JKM (523 orang), Jabatan Pembangunan Wanita (18 orang), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (73 orang), dan Institut Sosial Malaysia (enam orang).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan anugerah kepada (OKU), Sarjanih Lanjian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di The Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JUN 2022.

Turut hadir sama pada majlis tersebut adalah timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Sementara itu, Rina dalam ucapannya berkata, penganugerahan yang sama menggalakkan pegawai dan kakitangan KPWKM untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha dalam mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi agar semua warga KPWKM meneruskan komitmen untuk bekerja lebih kuat dengan strategi yang baharu untuk terus berdaya saing.

“Warga KPWKM perlulah melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berpandukan teknologi terkini selain menjiwai konsep S.W.I.F.T seperti yang ditekankan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Konsep S.W.I.F.T memerlukan komitmen warga KPWKM untuk melaksanakan tugasan dan tindakan dengan segera serta tidak berlengah (sense of urgency) bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat adalah terbaik dan berkesan.

“Penjawat awam perlu sentiasa menambah ilmu, memberi inspirasi dan motivasi, memaksimumkan penggunaan teknologi dan fleksibel dalam memenuhi keperluan rakyat tanpa mengabaikan aspek pematuhan kepada peraturan,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di The Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JUN 2022.

Rina juga mengingatkan warga KPWKM agar terus memupuk nilai murni dan amalan kerja beretika, cekap dan amanah pada setiap masa dalam melaksanakan tugas seharian.

“Anugerah persijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang telah diperolehi oleh KPWKM baru-baru ini dan pelaksanaan tindakan dalam Pelan AntiRasuah Organisasi (OACP) KPWKM akan membantu merealisasikan hasrat ke arah Toleransi Sifar Terhadap Rasuah.

“Pengiktirafan ini diharapkan akan menjadi pemangkin kecemerlangan dan menjadi motivasi kepada semua pihak untuk mencapai aspirasi KPWKM dalam mempamerkan budaya kerja yang cemerlang dan berprestasi unggul,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan anugerah kepada (JKM) Negeri Terengganu, Ruhani Sidek pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 di The Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JUN 2022.