Home Nasional 9,144 penjaja terima Bantuan Prihatin Pahang 2022

9,144 penjaja terima Bantuan Prihatin Pahang 2022

Wan Rosdy dalam Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Penjaja Harian Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

BENTONG – Kerajaan Pahang memperuntuk sejumlah RM1.83 juta Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 kepada 9,144 individu dalam kelompok penjaja harian di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerima terdiri dalam kalangan peniaga pasar malam, pasar tani, pasar lambak dan peniaga food truck itu bakal menerima RM200 secara berperingkat.

“Dan esok pula, Insya-Allah, kita akan berikan juga wang tunai RM200 kepada 928 pemandu teksi dengan peruntukan RM185,600,” katanya dalam Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Penjaja Harian Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Menurut Wan Rosdy, sehingga akhir tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM75 juta bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM31.3 juta telah diagihkan melalui pakej Bantuan Prihatin Pahang yang telah dilaksanakan melalui empat fasa khusus kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik.

Pada tahun ini pula, kerajaan negeri pada 9 April lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM29.91 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 yang akan memanfaatkan 297,013 penerima bersasar.

Penerima pula dikategorikan mengikut empat kluster iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda; Kluster Golongan B40 yang meliputi gelandangan, nelayan, pemandu teksi dan ibu tunggal; Kluster Umum melibatkan peneroka, penjaja harian, Orang Asli, pengusaha bot dan pemandu pelancong serta Kluster Apresiasi yang terdiri daripada veteran tentera dan polis.- MalaysiaGazette