Home Rencana Bapa Qawwam, Jasamu disanjung!

Bapa Qawwam, Jasamu disanjung!

Seorang murid bersalam dengan bapanya semasa hadir ke sekolah hari ini untuk sesi persekolahan secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2021

HARI bapa disambut setiap tahun oleh penduduk dunia. Di Malaysia, hari bapa disambut pada hari Ahad kedua dalam bulan Jun. Bapa merupakan insan yang dimuliakan selepas ibu. Bapa merupakan tunggak atau tunjang, ketua dalam keluarga. Bapalah yang diberi tanggungjawab dan amanah oleh Allah SWT untuk memelihara isteri dan anak-anak dan memberikan pendidikan dalam mencorak kehidupan mereka. Bapa yang baik akan memastikan ahli keluarga bukan sahaja cukup mendapat nafkah zahir dan batin malah turut memastikan ahli keluarganya dijaga dengan penuh kasih sayang.

Sebagai seorang Islam, seorang bapa bertanggungjawab memastikan didikan agama diterapkan kepada setiap ahli keluarga. Selain daripada memastikan solat didirikan pada setiap waktu, perintah Allah SWT yang lain juga turut dipelihara termasuklah memastikan isteri dan anak-anak menutup aurat dengan sempurna, mendidik mereka membaca dan menghayati al-Quran, serta memastikan segala perintah Allah dilaksanakan dan larangan Allah dijauhi. Kurangnya penglibatan bapa dalam pendidikan anak-anak boleh mengakibatkan munculnya pelbagai gejala sosial dalam kalangan anak-anak dari bangku sekolah sehingga ke peringkat remaja.

Bapa yang tidak menunjukkan contoh dan teladan yang baik, tidak mendidik dan menasihatkan anak-anak dan tidak mengendahkan apa jua yang berlaku dalam keluarganya akan melahirkan keluarga yang porak peranda. Bapa merupakan pelindung utama di dalam sesebuah keluarga yang menjadi tembok pemisah di antara kehidupan yang baik dan gejala sosial yang berleluasa di luar sana. Dengan siapa anak berkawan, dengan siapa mereka bergaul dan bagaimana mereka meluangkan masa mereka perlu diperhatikan dan peranan bapa juga amat penting dalam memastikan kegiatan anak-anak dipantau.Pendidikan agama perlu diterapkan sejak kecil bermula dengan solat berjemaah, membaca al-Quran dan mewujudkan majlis ilmu dan tazkirah di rumah. Sesi muhasabah dan perbincangan sesama keluarga perlu dilakukan dalam keadaan yang harmoni.

Dewasa ini, kita juga sering mendengar tentang berlakukanya jenayah dan keganasan rumah tangga. Seorang bapa yang dipertanggungjawabkan dan diharap untuk menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anak menjadi racun di dalam kehidupan keluarga. Bapa yang tidak dapat mengawal baran memukul dan mencederakan isteri dan anak-anak mengakibatkan tekanan dan kecederaan malah ada yang mengakibatkan kematian. Ada juga yang mengikut hawa nafsu dan menzalimi anak sendiri dengan melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti sumbang mahram.

Pengabaian juga berlaku dalam kalangan bapa yang tidak menyediakan tempat tinggal dan makanan yang secukupnya bagi keluarga. Kadangkala bukanlah kesusahan hidup memaksa, tetapi disebabkan oleh aktiviti sosial seperti melebihkan kawan dan hobi mereka, mempunyai perempuan simpanan dan juga gaya hidup yang tidak sihat seperti menghabiskan wang untuk membeli rokok. Ada juga yang bertindak menjadi biawak hidup dan memaksa si isteri untuk bekerja dan mengambil alih tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.

Dalam setandan pisang, tidak semua yang elok. Begitu juga dalam pelbagai isu rumah tangga yang diakibatkan oleh hilangnya qawwam seorang bapa, masih ada kaum bapa yang memiliki sifat ini. Sifat qawwam dalam keluarga iaitu kepimpinan seorang bapa sebagai seorang wali yang mampu melindungi keselamatan dan maruah ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya adalah penting dan disebut di dalam bahagian pertama ayat 34 daripada surah an-Nisa’ yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Seorang bapa atau lelaki yang qawwam akan menjadikan rumah mereka seperti syurga dunia, dipenuhi kasih sayang, ketenangan jiwa, isteri dan anak-anak diberi perhatian dan keperluan dalam segala aspek dipenuhi dengan sebaiknya. Didikan agama dan adab serta akhlak yang baik turut diutamakan di samping pendidikan yang sempurna bagi kehidupan dunia dan akhirat. Marilah kita sama-sama mencontohi junjungan besar kita Nabi Muhammad SAWyang merupakan nama yang disebut-sebut sebagai pemimpin, ketua negara, ketua agama juga merupakan seorang ketua keluarga yang wajar dicontohi. Baginda merupakan seorang bapa dan suami yang mithali.

Baginda turut membantu isteri baginda dalam menguruskan rumahtangga seperti menjaga kebersihan, menjahit pakaian yang koyak dan sentiasa menjaga hati isteri dan anak-anak baginda dengan penuh kasih sayang dan keimanan. Daripada Saidatina ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dan jangan berbicara tentang keburukannya).” (HR at-Tirmidzi)

Selamat Hari Bapa!

Oleh: 
Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha, WARAK PAPISMA