KUANTAN – Empat remaja termasuk tiga beradik melarikan diri dari sebuah asrama pusat jagaan anak yatim dan miskin di Kempadang di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun dengan kesemuanya berasal dari Kampung Cenderawasih, Pekan dipercayai melarikan diri menerusi pintu belakang asrama pada 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, tindakan itu dipercayai berpunca akibat tidak puas hati dengan larangan penggunaan telefon bimbit di asrama berkenaan.
“Kehilangan mereka disedari oleh penyelia asrama berusia 35 tahun yang kemudiannya membuat laporan polis pukul 5.05 petang tadi selepas usaha mencari yang dilakukan pihak asrama gagal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari, berkata kesemua remaja terlibat difahamkan mula mendiami asrama itu sejak dua dan setahun lepas.
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mengesan mereka kini giat dijalankan, katanya. – Bernama