ISKANDAR PUTERI – Kadar pengangguran di Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga suku pertama 2022 sebanyak 3.2 peratus – turun 0.7 berbanding 3.9 peratus yang direkodkan pada suku sama tahun 2021.
Sementara itu, bilangan penganggur di negeri ini pada suku pertama tahun 2022 adalah seramai kira-kira 59, 000 orang.
Angka itu dilihat berkurangan sebanyak 12, 200 berbanding 70, 800 orang penganggur pada suku pertama tahun 2021 menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kata Exco Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Mad Sah.
Justeru menurutnya, JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) diperlukan memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.
“Program JKIP memberi insentif kepada antaranya majikan yang membuat pengambilan pekerja berusia 18 hingga 20 tahun di bawah kategori perantisan dengan kadar insentif sebanyak RM900 selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin mengenai berapakah kadar pengangguran bagi tempoh Januari 2021 hingga suku pertama 2022 serta apakah langkah-langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran.
Menurut Mohd Hairi, majikan yang membuat pengambilan pekerja berusia 16 hingga 49 tahun di bawah kategori Pencari Kerja Am yang akan menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji pekerja bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus untuk tempoh enam bulan berikutnya.
“Selain itu majikan yang mengambil pekerja daripada kategori golongan mudah terjejas, wanita dan pekerjaan di bawah sektor pelancongan akan menerima bayaran insentif sebanyak sebanyak 30 peratus daripada gaji pekerja bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya dan majikan yang menggantikan pekerja asing atau pegawai dagang dengan pekerja tempatan di bawah Program Malaysianization.
“Di bawah program ini, majikan yang layak bakal menerima insentif sebanyak sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu Hairi turut menyatakan Unit Strategik Modal Insan Johor telah dan sedang giat mengadakan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor.
Selain mengadakan hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media sosial jabatan sebagai inisiatif menghebahkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor. – MalaysiaGazette